Khamis, 29 Julai 2010

ADIK

“ Mak, kenapa ni mak?” terkedu Zainal dengan tindakan ibunya itu. Dia tahu ibunya itu sedang bersedih kerana adiknya telah meninggal dunia dalam suatu kemalangan. Zahim telah dilanggar lari oleh sebuah lori ketika dalam perjalanannya menuju ke surau kampung itu.

“Mak akan tunggu Zahim balik. Zahim balik nanti mak nak bawak pergi ke klinik. Zahim tak sihat, Nal. Semalam Zahim datang pada mak, dia cakap dia demam Nal. Dia..” Kedengaran ibunya meracau-racau menyebut nama Zahim.

Hati Zainal terusik dengan kelakuan ibunya itu. Tanpa disedari, air matanya terlerai dan membasahi pipinya.

“Mak, Zahim dah tak ada mak. Zahim dah meninggal dunia, sedarlah mak. Jangan buat Nal macam ni mak, nal rasa perit mak. Mak bersabarlah, terimalah hakikat Zahim dah pergi.” Ujarnya dalam tangis dan sendu.

Kehilangan adik bongsunya 2 hari lalu telah mengubah keadaan ibunya menjadi begitu. Mungkin kerana kesedihan yang amat sangat, ibunya telah mengalami demam panas.

“Mak, kita ke hospital ye. Nal bawak mak pergi hospital.”

“Mak tak sakitlah Nal, adik kamu tu yang sakit. Bawaklah Zahim dulu.”

“Mak, Zahim dah tak ada mak.”

Zainal memeluk ibunya sambil menangis. Kelakuannya itu persis seperti anak kecil.

“Nal tak tinggalkan mak, mari kita pergi ke hospital mak. Ikut Nal ye mak.”

Ibunya mengangguk. Zainal dan adik perempuannya memapah ibu mereka ke kereta dan Zainal membawa ibunya ke hospital berdekatan.

Sementara itu..

“Yang engkau pergi langgar anak orang tu kenapa? Bodoh betul. Tak boleh di harapkan. Kalau aku ada sepuluh lagi anak macam engkau merana la hidup aku. Untunglah engkau dah tukar plat lori itu. Ni dalam surat khabar ni tahu tak, ada tulis plat yang sebenar. Kalau kau tak langgar budak tu, aku rasa kerja kita tak akan susah macam ni.” Marah Hamdan kepada anaknya itu.

“Orang tak sengaja lah. Siapa yang suruh budak tu duduk tengah jalan?”

“ Hei Hamid, kalau engkau tak mabuk, tak akan engkau cakap budak tu duduk tengah jalan.”

“Alah ayah, peduli apa dengan budak tu. Bukan dia boleh hidup balik cerita orang yang langgar dia. Tak ada orang nampak la orang langgar dia.”

“ Kalau tak ada orang nampak, tak adalah plat lori yang di kehendaki ni plat lori aku yang engkau guna tu. Menyusahkan aku betul”

“ Ayah, orang nak RM500. Nak ganti tayar dengan ketuk lori tu. Takut nanti ada orang syak pula.”

“ Ha, tengok, duit pun mintak kat aku.”

“ Habis, orang nak mintak kat siapa? Ayahlah satu-satunya yang orang ada.” Ujar Hamid sambil tersenyum.

Tanpa di sedari perbualan mereka didengari oleh adik perempuan Hamid, Amina. Amina tidak menyangka abangnya itu rupanya yang melanggar lari Zahim dan ayahnya pula seolah-olah menyokong perbuatan abangnya itu dan tidak melaporkan kepada polis.

Di Hospital, Zainal masih berada di sisi ibunya itu.

“ Sabarlah mak, Nal tahu mak sedih, Nal pun sedih juga. Tapi dah sampai masa Zahim mak. Allah lebih sayangkan Zahim. Mak masih ada Nal kan?” kata Zainal kepada ibunya.

“Nal janji akan cari orang yang bertanggungjawab dan pastikan dia mendapat hukuman yang setimpal.” Sambungnya lagi.

“Mak percayakan Nal.” Ujar ibunya itu dalam sendu yang semakin reda.

Ingatan Zainal kembali ke beberapa malam sebelum pemergian adiknya itu. Zahim, adik kepada Zainal pernah mengadu kepada Zainal akan mimpinya yang amat pelik.

“ Abang Nal, adik mimpi pelik la. Ada tongkat yang cantik sedang mengekori seorang perempuan. Terkadang tongkat itu hilang, terkadang pula ada terus mengekori perempuan itu. Perempuan yang bertelekung itu sesekali memandang adik. Adik rasa sayu bila tengok wajah dia.” Adu Zahim pada abangnya yang seorang itu.

“ Mimpi je tu dik, jangan difikirkan sangat ye.” Ujar Zainal menenangkan adiknya.

“ Tapi abang, perempuan tu, wajahnya macam adik kenal, macam wajah nenek.”

“ Mengarutlah adik ni, dah la pergi mandi. Bau adik dah semacam ni. Lepas tu solat, cepat subuh dah nak habis ni.” Tegas Zainal.

Zahim berlalu tanpa sepatah kata.

Zainal terdengar suara merdu adiknya yang sedang membaca Suratul-Yasin. Tersentuh hatinya kala malam jumaat itu. Akhir-akhir ini adiknya itu seakan semakin mesra dengannya.

“ Abang, hari ni abang tak payah la pergi kerja, kita pergi jalan-jalan nak tak? Dah lama tak pergi jalan sama-sama.“ pinta Zahim pada pagi Sabtu itu.

“ Adik ni, kan abang kerja hari ni. Abang kerja separuh hari, hari ni. Abang balik nanti kita pergi ye.” Dan janji itu telah di tunaikan. Kalaulah Zainal tahu adiknya akan pergi, dia tidak akan melangkah walau setapak dan berada bersama Zahim dan dia akan menunaikan permintaan Zahim tanpa berlengah. Namun, apakan dayanya sebagai manusia yang tidak punya apa-apa yang tidak akan pernah mampu mengetahui perkara ghaib itu.

Maghrib itu, Zahim meminta untuk ke surau dan Zainal tak menyangka adiknya itu tidak akan pulang lagi. Tidak akan ada lagi alunan suara merdunya tatkala malam Jumaat akan datang. Hati Zainal di serbu sebak yang amat sangat tatkala mengenang ketika jenazah adiknya di usung ke tanah perkuburan Islam di Kampung Sira.

Sementara itu di rumah Hamdan.

“ Ayah, kenapa tak laporkan kepada polis yang abang langgar Zahim?”

“ Jangan merepek. Kau jangan nak buat gila. Nanti mana aku nak letak muka aku kalau abang kau masuk penjara?”

“ Jadi ayah mahu bersubahat membunuh orang?”

“ Sudah, kamu budak kecil jangan nak masuk campur.”

“ Saya tak akan berdiam diri ayah. Saya tak mahu bersubahat. Saya akan laporkan kepada polis sekarang juga!”

“ Jangan pandai-pandai nak buat aku marah. Pergi masuk bilik sekarang.”

Amina di seret masuk ke dalam bilik dan bilik itu di kunci. Namun, sudah takdir ayahnya itu terlupa mengambil telefon bimbit Amina.

Amina bertindak menghubungi pihak polis sebelum ayahnya menyedari perkara itu. Hamdan membuka pintu bilik Amina untuk mengambil telefon bimbit anaknya itu. Namun segalanya sudah terlambat dan akibatnya, Amina telah di belasah teruk oleh Hamdan. Rupa-rupanya pihak polis telah mendapat maklumat mengenai kemalangan tersebut terlebih dahulu dan tindakan Amina menghubungi pihak polis telah mengesahkan perkara sebenarnya.

Tidak sampai 30 minit Amina menghubungi pihak polis, kelihatan kereta polis tiba di salah sebuah pusat snooker di pekan kecil itu. Berita penangkapan Hamid mengejutkan seluruh penduduk Kampung Sira. Akhirnya yang bersalah tetap di hukum.

“ Mak, orang yang menyebabkan kematian adik telah mendapat hukumannya. Semuanya kerana jasa pihak polis dan juga Amina, kawan adik Zahim yang sangat berani.” Ujar Zainal kepada ibunya.

Saat ibunya bersolat pagi itu, kedengaran esak tangis ibunya ketika berdoa kepada yang Maha Esa.

Ya Allah, ampunkanlah dosa anakku, tenangkanlah dia bersemadi di sana. Sesungguhnya aku telah mengampunkannya dan menghalalkan susuku dan segalanya yang kau telah kurniakan kepada kami. Aku tahu dia cuma pinjaman dan amanat-Mu. Ya Allah, tempatkanlah dia disisi orang-orang yang beriman dan yang mendapat petunjuk dari-Mu. Ya Allah, tenangkan hatiku, damaikan hatiku dan anakku Zainal. Berikanlah kekuatan kepada kami untuk beribadah kepada-Mu.”

Mengalir lagi air mata lelaki itu tatkala mendengar doa seorang ibu yang merindui anaknya.

“ Adik, abang rindukan adik. Tenanglah adik di sana. Abang tidak menyangka dirimu akan pergi dahulu dari abang. Tapi abang janji akan menjaga mak. Abang akan selalu kenangkan adik dalam hati dan diri abang, dalam rumah kita, dan dalam doa abang. Tenanglah dik, abang bahagia bersamamu, walaupun seketika cuma. Abang sayangkan adik.”

p/s Sudi apalah kiranya kita bersama menghulurkan Al-Fatihah kepada saudara seIslam kita yang telah pergi mengadap Yang Esa. Hidup ini cumalah pinjaman sementara dan persinggahan sebelum menuju kehidupan ukhrawi yang kekal abadi.

Azsalyira

Tiada ulasan:

Catat Ulasan